Syariah
Islam adalah suatu perundangan yang Allah SWT syariatkan ke atas
hamba-Nya untuk menjaga kemaslahatan dan kebaikan buat mereka.
Ini adalah suatu rahmah, Allah sebagai Pencipta Yang Maha Mengetahui dengan karenah dan keperluan makhluk-Nya.
Kalau
dibiarkan manusia memikirkan sendiri untuk maslahah mereka tentulah
pemikiran mereka tidak sampai ke tahap yang sepatutnya.
Sebagai
suatu usaha kami untuk menyampaikan kebaikan dan memberi kefahaman
kepada masyarakat tentang perkara ini, khasnya pada zaman yang ada orang
mempersendakan Hukum Allah khasnya Hudud, maka diharapkan usaha ini ada
manfaatnya.
KATA PENDAHULUAN
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهدية ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد ان لا اله الا الله
وحده لا شريك له واشهد ان محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وسلم وعلى آله
وضحبه وسلم كثيرا.
{ وماكان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضللا مبينا} (٣٦)
“Dan
tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan
mempunyai hak membuat pilihan sendiri dalam urusan mereka apabila Allah
dan Rasul telah membuat sesuatu keputusan. Siapa yang tidak mematuhi
hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya bererti ia telah terjerumus dan
kesesatan yang amat nyata.’’ (al-Ahzab : 36)
Buku
ini lahir tepat ada waktunya, di mana isu hukum hudud menjadi topik
perbincangan hangat di kalangan orang-oang Islam sendiri dan menerima
reaksi yang berbelah-bagi dari berbagai-bagai sektor penduduk Malaysia.
Buku
ini dilahirkan dengan tujuan memberi gambaran asas tentang hukum hudud
yang dipertikaikan itu supaya ia dapat difahami dengan penjelasan yang
betul, mudah dan terlepas dari sebarang sentimen politik dan semangat
perkauman yang buta agar isu yang besar ini dapat difikir dan diteliti
dengan penuh tanggungjawab oleh setiap pihak yang berminat untuk
mencampuri dalam isu ini terutama bahagian umat Muslim yang menerima
Allah SWT sebagai Tuhan dan menerima Muhammad Rasulullah SAW sebagai
pemimpin mereka yang ulung di sepanjang zaman.
Menurut
prinsip keimanan dan aqidah Islamiah, setiap Muslim dan Muslimah wajib
mempertahan dan membela agamanya, dan konsep membela agama tidak hanya
terbatas dalam erti kata mengamal dan mempertahankan peraturan-peraturan
ibadat, peraturan nikah cerai dan peratuan muamalah sahaja, malah
merangkumi usaha mempertahankan konsep-konsep pemerintahan, pentadbiran
dan kehakiman yang telah digariskan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan
Sunnah Rasulullah SAW dan antaranya ialah hukum hudud yang dipertikaikan
sekarang ini.
Sehubungan
dengan ini, mana-mana Muslim dan Muslimah yang tidak sanggup
mempertahankan kesucian hukum hudud atau merasa keberatan untuk
menganggap hukum hudud sebagai hukum-hukum Allah Taala yang wajib
dipatuhi atau bertindak liar dengan mempertikaikan hukum hudud atau
mempersenda-sendakan hukum hudud atau menyifatkan hukum hudud sebagai
undang-undang barbarik, kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka bererti
ia tidak sanggup menjunjung hukum Allah SWT dan secara terbuka
menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan setiap mereka yang
tergolong dalam kategori orang-orang yang menentang al-Quran dan Sunnah
Rasulullah SAW secara langsung adalah tergolong di dalam kumpulan
manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.
Untuk
menyelamatkan ramai orang Islam dari keruntuhan iman dan kemusnahan
aqidah mereka yang suci kerana terlibat secara sedar atau tanpa sedar
dalam kegiatan mempertikaikan hukum hudud yang digariskan oleh al-Quran
dan Sunnah Rasulullah SAW itu, maka terpaksa dilakukan dengan segera
untuk melahirkan sebuah buku khusus megenai hukum hudud dengan tujuan
membentangkan keterangan hukum-hukum itu supaya ramai orang Islam
mendapat gambaran tentang hukum hudud yang sebenar dan tidak terus
terkeliru dan tertipu dengan gambaran-gambaran khayalan yang melulu
hingga hukum hudud dipandang sebagai ancaman-ancaman dan undang-undang
buas yang menakutkan dan mengerikan, sedangkan hukum hudud yang
diturunkan Allah SWT itu suci dan bersih dari segala gambaran yang
melulu, dusta dan menghinakan itu.
AAM HUDUD; Hukum, Hikmah, Kritikan & Jawapan
Semua
pihak yang ikhlas sedar bahawa pelaksanaan hukum hudud yang
diperkatakan sekarang ini masih dalam peringkat perancangan persiapan.
Tiada siapa yang sanggup berdakwah bahawa hukum hudud boleh dilaksanakan
sekarang juga dengan menggunakan kitab-kitab Feqah yang ditulis di
abad-abad yang lampau tanpa memerlukan penapisan dan semakan yang rapi
atau tanpa memerlukan usaha-usaha kemaskini atau tanpa memerlukan
perubahan-perubahan yang wajar dalam struktur kehakiman dan pentadbiran
undang-undang negara.
Pendek
kata, persiapan itu adalah satu perkara, dan kesahihan hukum hudud
sebagai undang-undang dari syariat Allah Taala yang wajib didaulatkan
oleh umat Islam yang mempunyai kuasa membentuk kerajaan dan menggubal
undang-undang adalah satu perkara yang lain, yang tidak boleh
dikelirukan dengan isu persiapan yang juga turut menjadi kewajipan.
Apa
yang penting wujud pada peringkat sekarang ialah keinsafan dan keazaman
untuk menegakkan hukum hudud. Apabila keinsafan dan keazaman yang
ikhlas wujud, maka perlaksanaan hukum hudud lambat laun akan muncul di
alam realiti. Dalam perjuangan di peringkat persiapan, setiap Muslimin
dan Muslimat berkewajipan memberi sumbangan dan sokongan tanpa mengira
parti dan menjauhi diri dari membuat komen-komen negatif atau memalu
gendang-gendang sumbang yang membayangkan kearah keraguan.
Hukum
hudud merupakan sebahagian dari kanun jenayah Islam dan kanun jenayah
Islam merupakan sebahagian dari syariaat Allah SWT yang wajib dijunjung,
diamal, dan dipertahankan oleh setiap Muslimin dan Muslimat.
Perlaksanaan
kanun jenayah Islam di zaman Rasulullah SAW telah dilakukan pada zaman
Madinah, ketika mana Islam berjaya menegakkan negara Islam yang
berdaulat, yang mempunyai kuasa untuk menegakkan undang-undang dan
peraturan-peraturan. Oleh sebab itulah setiap masyarakat Islam di
mana-mana negeri dalam mana-mana generasi dan zaman sekalipun, wajib
mendaulatkan kanun jenayah Islam apabila mereka berkuasa membentuk
kerajaan dan menggubal undang-undang negeri, kerana perlaksanaan kanun
jenayah Islam merupakan perkembangan yang kemuncak bagi dakwah Islam di
samping ianya merupakan keperluan asasi bagi mengawal kesejahteraan
umat.
Keutuhan
sebuah negara Islam adalah dipertahankan oleh dua kekuatan, iaitu
kekuatan keimanan dan taqwa yang tertanam dalam hati rakyat jelatanya,
dan kekuatan undang-undang yang menjadi teras kekuatan lahiriah negara
itu.
Taqwa
dan undang-undang merupakan dua kekuatan berkembar negara Islam yang
tidak boleh dipisahkan. Sebarang usaha untuk memisahkan dua kekuatan itu
akan memusnahkan identiti sesebuah negara Islam. Memang
diakui bahawa hukum hudud atau kanun jenayah Islam umumnya yang
diwarisi umat Islam pada hari ini belum dilengkapkan dengan
teknik-teknik dan kaedah-kaedah pelaksanaan undang-undang yang moden seperti undang-undang ‘penal code’ yang ada pada hari ini adalah kerana beberapa sebab oleh sejarah dan politik.
Antaranya,
yang pertama, kesuburan dan perkembangan kanun jenayah Islam telah
terbantut sejak negara-negara Islam memasuki era kelemahan dan
kejatuhan, di mana kanun jenayah Islam dari segi amalan tidak lagi
berfungsi dalam masyarakat-masyarakat Islam dan oleh kerana itu ia tidak
mendapat kesempatan untuk terus berinteraksi dengan realiti kehidupan
manusia hingga ke zaman moden.
Kedua;
Kerana ia ditulis di abad-abad yang silam berlandaskan realiti-realiti
kehidupan umat Islam di zaman silam, akan tetapi walaupun begitu, ia
tetap kekal dengan ciri-ciri semulajadinya yang sanggup mengikuti
perkembangan zaman dan perubahan kehidupan manusia. Lunas-lunas dan
kaedah-kaedahnya yang universal (sejagat) yang dapat dipakai pada semua
zaman dan tempat.
Jika
kepakaran teknikal ahli perundangan di zaman ini bergabung dengan
kepakaran ilmiah Islamiah ahli perundangan Islam yang telah lama wujud
di negara kita dan negara-negara Islam yang lain, sudah tentu kanun
jenayah Islam dapat diletakkan dalam satu acuan baru yang dapat
mencerminkan dinamisme (kehadapan) dan realismenya yang utuh untuk
menghadapi kehendak realiti kehidupan moden.
Buku
ini adalah hasil dari saringan bebas dari sebuah buku perundangan Islam
yang besar yang paling mutakhir dan sedang mendapat populariti yang
tinggi dan meluas di dunia Islam iaitu buku:
الفقه الإسلامي وأدلته
(Kefahaman Perundangan Islam Dan Dalil-dalilnya)
Hasil karangan ulama Islam semasa yang terkemuka, Doktor Wahbah az-Zuhayli -hafizahullah-.
Hasil karangan ulama Islam semasa yang terkemuka, Doktor Wahbah az-Zuhayli -hafizahullah-.
Bahagian
yang dimasukkan dalam buku yang kecil ini ialah bahagian hukum hudud
mengenai jenayah-jenayah zina, qazaf (membuat tuduhan zina ke atas orang
lain), mencuri, merompak dan minum arak sahaja dengan tujuan agar buku
ini tidak menjadi tebal dan cukup untuk mengenal garis-garis besar hukum
hudud dengan beberapa perinciannya yang penting.
Setiap
pembaca yang menatap buku ini dengan hati nurani yang terbuka dan
dengan kesedaran seorang mukmin yang mempunyai hubungan yang peka dengan
Allah dan Rasul-Nya akan melihat dan menginsafi bahawa hukum hudud itu
adalah undang-undang yang diaturkan oleh kebijaksanaan Allah SWT yang
mengetahui tabiat hati dan naluri manusia yang diciptakannya. Ia
bukannya undang-undang yang digaris secara sewenang-wenangnya yang hanya
sesuai dengan zaman unta dan masyarakat padang pasir yang bersahaja,
malah selanjutnya ia akan memperolehi keyakinan bahawa hanya hukum hudud
ciptaan Allah sahaja yang mampu menyelamatkan tamadun manusia dari
keruntuhan akhlak dan kemusnahan sosial akibat kebebasan perlakuan
jenayah seks, jenayah mencuri dan merompak, jenayah membunuh dan
menceroboh dan merosakkan.
Masyarakat
Amerika yang membangga-banggakan dirinya sebagai negara yang terkuat
dan mempunyai tamadun yang paling tinggi dan sebagai satu-satunya negara
yang layak menjadi polis dan hakim dunia dapat dijadikan contoh yang
amat jelas bagaimana ketamadunan negara itu sedang dicemari keruntuhan
akhlak dan perlakuan jenayah yang berleluasa hingga ketamadunannya tidak
lagi mencerminkan konsep tamadun dalam erti kata yang murni dan
sebenar.
Gaya
perundangan jenayah barat kebelakangan ini menjurus ke arah kaedah
bersimpati dengan penjenayah dan meringankan hukuman terhadap mereka.
Hasil yang paling jelas dari kaedah ini ialah penghapusan hukuman bunuh
atau ‘Capital Punishment’, memandang ringan kepada jenayah zina
dan jenayah minum arak dan mengenakan hukuman yang menggalakkan ke atas
pencuri-pencuri dan perompak-perompak. Akibat trend perundangan yang
lembut inilah penjenayah-penjenayah yang keji itu berkembang begitu
pesat dan subur dan mengakibatkan penderitaan-penderitaan yang amat
berat kepada masyarakat di seluruh dunia dan menyebabkan rancangan
pembesaran penjara-penjara sama penting dengan pembesaran kolej-kolej.
Dari
penjelasan buku yang kecil ini, setiap pembaca dapat melihat bahawa
pelaksanaan hukum hudud dari awal hingga akhirnya adalah diikat dengan
berbagai-bagai syarat yang ketat dan boleh digugurkan dangan
berbagai-bagai keraguan, malah dalam kes rejam yang paling berat
sekalipun, orang yang dihukum masih mempunyai kelonggaran untuk
melarikan diri semasa menjalani hukuman dan dalam sesetengah kes hudud
yang lain, hukuman hudud tergugur sekiranya dengan taubat sebelum
penjenayah itu ditangkap.
Ciri-ciri
hukum hudud yang menarik ini membayangkan bahawa matlamat hukum hudud
adalah semata-mata untuk mewujudkan kesan pencegahan yang mendera dan
memeritkan bukannya untuk membinasakan penjenayah demi melindungi
kesejahteraan masyarakat. Di samping itu konsep hukuman dan balasan
dalam Islam bukan semuanya diselesaikan di dunia ini, malah seluruh
insan akan dibicarakan kembali dalam pengadilan terakhir di hadapan
Allah SWT pada hari akhirat, oleh sebab itulah dalam hukum hudud
terdapat lorong-lorong yang selamat untuk memberi peluang kepada pesalah
itu menginsafi diri mereka di dunia atau bertaubat sebelum menghadapi
pengadilan di akhirat buat kali terakhir.
Dengan syarat-syarat yang ketat dan faedah-faedah keraguan (benefit of doubts)
yang luas yang diperuntukkan di dalam hukum hudud tidak boleh
disifatkan sebagai undang-undang mandatori yang mutlak seperti Akta
Undang-Undang Dadah Merbahaya yang dilaksanakan di negeri ini, malah
perselisihan pendapat di antara ahli-ahli perundangan Islam dalam
mentafsirkan sesetengah peruntukan di dalam hukum hudud, telah
menjadikan hukum hudud suatu undang-undang yang banyak memberi ruang
kepada pertimbangan dan ijtihad para hakim untuk membuat keputusan yang
berhemat.
Ia
jauh berbeza dari undang-undang dadah merbahaya ciptaan manusia yang
tidak memberi ruang-ruang pertimbangan perikemanusiaan yang logik yang
dapat memberi kepuasan dan ketenangan kepada hati nurani yang merasa
bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap setiap nyawa yang dihukum
oleh mereka.
Pelaksanaan
hukum hudud sebagaimana yang dapat diperhatikan dari penjelasan buku
ini lebih mendalam dan lebih serius dalam mendokong aspek rahmat dan
kasihan belas yang tidak terdapat di dalam undang-undang dadah merbahaya
ciptaan manusia yang tidak sanggup membezakan secara berperikemanusiaan
di antara pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan
pengambil-pengambil upah yang miskin, jahil dan terdaya, juga di antara
pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan orang-orang yang bernasib
malang yang tercebak dalam deeming provision atau dalam definisi pemilikan dadah mengikut undang-undang dadah.
Setengah-setengah
hakim diakhir pembicaraan dadah merbahaya yang berbunyi: “Saya tidak
mempunyai pilihan selain dari menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke
atas kamu” adalah merupakan sesuatu pernyataan yang mengungkapkan
kebuntuan dan kekecewaan hati nurani yang peka untuk menemui jalan-jalan
rahmat dan kasihan belas.
Saya
percaya setiap pembaca yang meneliti syarat-syarat pelaksanaan hukum
hudud dengan sadar dan insaf dari awal hingga akhir akan membuat
kesimpulan yang spontan bahwa hukum hudud walaupun bersifat mandatori
amat sukar dilaksanakan melainkan ke atas penjenayah-penjenayah yang
yang amat jahat dan benar-benar wajar dihukum atau penjenayah yang amat
jujur dan amat tinggi keinsafan dan taqwanya hingga sanggup meminta
hukuman dijalankan ke atasnya walaupun diberi isyarat oleh hakim supaya
tidak membuat pengakuan seperti itu.
Di
samping itu pelaksanaan hukum hudud tidak seharusnya membimbangkan
orang-orang bukan Islam, kerana hukum hudud bertujuan mewujudkan suasana
aman yang sebenar kepada semua penduduk negara tanpa mengira kaum dan
bangsa. Mereka tidak seharusnya merasa takut kepada hukum hudud selama
mereka menaruh kebencian dan bersikap menentang perlakuan
jenayah-jenayah hudud yang keji itu atau selama mereka tidak
bercita-cita untuk melibatkan diri di dalam jenayah-jenayah yang jahat
itu.
Atau
selama mereka tidak rela kedai-kedai mereka dicuri atau selama mereka
tidak rela melihat isteri dan anak-anak gadis mereka dilarikan dan
dirogol dengan kejam atau selama mereka bercita-cita untuk tidur nyenyak
dalam suasana aman dan selesa tanpa mengenakan pada pintu-pintu rumah
mereka dengan berbagai-bagai penggera yang canggih dan tanpa memasang
kunci yang berlapis-lapis seolah-olah penjara-penjara kecil di tengah
bandar.
Cara
pelaksanaan hukuman rejam, hukuman sebat, hukuman potong tangan dan
hukuman bunuh yang dijalankan di hadapan mata satu perhimpunan ramai
akan membuat para penjenayah yang menjalani hukuman itu benar-benar
merasakan bahawa mereka sedang dihukum oleh orang ramai. Di sinilah
letaknya faktor-faktor keberkesanan hukum hudud yang dapat melahirkan
kesan-kesan pencegahan yang berkesan sehingga membuat setiap orang yang
bercita-cita untuk melakukan jenayah-jenayah hudud yang keji itu
terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum melangkah ke alam jenayah
itu.
Sebelum
mengakhiri kata pendahuluan ini adalah wajar ditekankan sekali lagi
bahawa kewajipan mempertahankan hukum hudud dari segi ilmiah dan kaedah
perlaksanaannya bukan sahaja menjadi kewajipan cerdik pandai Islam yang
tergolong dalam istilah alim-ulama seperti yang ditanggapkan selama ini,
malah ia menjadi kewajipan semua pengamal undang-undang yang beragama
Islam di seluruh negeri ini, yang terdiri dari hakim-hakim dan
peguam-peguam yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaandan
pengendalian undang-undang Negara.
Selaku
seorang muslim yang bertuhankan Allah SWT dan mahir dalam perundangan
negara, mereka berkewajipan mempelajari dan mengkaji selok-belok hukum
hudud bersama para ulama dan membuat perakuan-perakuan yang membuka
jalan ke arah pelaksanaan hukuman hudud yang diturunkan oleh Allah
Taala. Mereka tidak wajar berselindung di sebalik lalang dengan alasan
yang dangkal bahawa tugas mereka hanya menafsirkan undang-undang, bukan
menggubal undang-undang, kerana di dalam realiti Islamnya, mereka adalah
hakim-hakim dan peguam-peguam yang beragama Islam yang bertanggungjawab
mengamal dan mengembangkan undang-undang Islam mengikut saranan-saranan
yang berada di dalam keupayaan mereka selaku ahli undang-undang.
Sikap
redha dan berpuas hati dengan undang-undang ciptaan manusia yang
diambil dari Barat atau sebagainya adalah bertentangan dengan aqidah
Islamiah yang dianut oleh mereka. Begitu juga sikap tidak peduli atau
memandang remeh kepada undang-undang ciptaan Allah SWT akan meletakkan
mereka dalam barisan orang-orang yang tidak menghormati dan menjunjung
tinggi undang-undang Allah SWT, iaitu satu barisan yang bertenggek di
tepi jurang kemusnahan aqidah dan keruntuhan iman.
Sebenarnya,
kepakaran teknikal dan pengalaman-pengalaman yang luas dari para hakim
dan peguam beragama Islam itu dapat memberi sumbangan-sumbangan
pelaksanaan yang amat bermakna dalam penyusunan qanun jenayah Islam
umumnya dan undang-undang hudud khususnya, di zaman kebangkitan umat
Islam yang ingin kembali kepada sistem hidup Islam setelah gagal dengan
undang-undang ciplak ciptaan manusia yang semata-mata berlandaskan
kepentingan-kepentingan keduniaan.
Di
samping itu, pengalaman-pengalaman kerajaan Arab Saudi serta kerajaan
Sudan dan juga percubaan-percubaan kerajaan Pakistan dapat dijadikan
panduan-panduan yang amat berguna dan membina dalam usaha
mengemaskinikan teknikaliti pelaksanaan undang-undang hudud dalam dunia
yang serba maju dan moden ini. Kita yakin dengan usaha yang sedemikian
rupa dari para alim ulama yang berganding bahu dengan para hakim dan
para peguam yang beragama Islam, negara ini lambat-laun akan dapat
menikmati naungan di bawah undang-undang Islam yang adil dan aman.
KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH
Semakin
jauh kita mengkaji perundangan Islam dan kitab-kitab yang disusun oleh
ahli perundangan Islam semakin kuat kepercayaan kita terhadap kemantapan
syariat Islam dalam mengatur urusan kehidupan masyarakat, juga terhadap
kebaikan pemikiran Islam, kebijaksanaan ahli-ahli perundangan Islam dan
keagungan perundangan Islam, kerana hukum-hukumnya bukan sahaja
dilandaskan di atas dalil-dalil naqli dari al-Quran dan as-Sunnah, malah
ia menembusi begitu jauh di dalam jiwa dan akal manusia untuk
mendapatkan dalil yang menguat dan menyokongnya sehingga ke masa kini,
iaitu dalil yang menyokongnya dari aspek pelaksanaan yang praktikal dan
menyumbangkan kekuatan kepadanya untuk kembali berfungsi semula dalam
mengatur dan mengendalikan hubungan-hubungan social, hubungan-hubungan
dagang, dan hubungan dua hala yang berlangsung setiap hari di antara
individu-individu, juga dalam mengembalikan hubungan antarabangsa.
Tujuan
memilih dan mengambil undang-undang Islam ialah untuk menegakkan sebuah
masyarakat Islam yang kukuh, terhormat, bersih, aman dan tenteram
dimana tiada ruang untuk ditawarkan kehinaan atau menyerah kalah kepada
musuh, masyarakat yang tidak memberi tempat kepada perlakuan jenayah dan
kegiatan-kegiatan yang tidak menentu, masyarakat yang tidak memberi
pertimbangan kepada kelakuan-kelakuan pelik dan menyeleweng, perbuatan
yang korup, atau mungkar dan maksiat. Ia bertindak ke arah itu secepat
mungkin mengikut prinsip-prinsip Islam terutama prinsip memberi
perlindungan kepada perbuatan jenayah yang tertutup atau dilakukan
secara tidak terbuka dan prinsip menolak dan mengenepikan hukum-hukum
hudud bukan hukum ta’zir apabila terdapat keraguan.
Di
antara faktor yang benar-benar menarik kita kepada undang-undang Islam
ialah umat Muslimin di zaman kita telah pun mencuba segala barangan
import di dalam bentuk undang-undang dan peraturan-peraturan, idea-idea
dan budaya-budaya serta berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang bersifat
materialistik yang sempit atau kebendaan semata-mata, tetapi pada
akhirnya golongan yang insaf dan sedar telah kembali kepangkuan Islam
setelah sistem import itu gagal memajukan individu dan masyarakat, dan
setelah terbuka tembelangnya yang selama ini ditutup dengan lapisan cat
tamadun yang palsu, yang mana dari tamadun palsu inilah kita telah
mengambil sesuatu yang rendah serta tidak bermutu dan meninggalkan intan
atau sesuatu yang berguna lalu kita tegakkan kehidupan umat Islam
mengikut sistem-sistem dan budaya-budaya import itu yang telah
mengakibatkan kerosakan kepada nurani dan fikiran-fikiran mereka.
Di
samping menanamkan keraguan dan sikap tidak yakin kepada diri sendiri,
menggoncang nilai, sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang murni dan pada
akhirnya sistem itu gagal kecuali mengekalkan kita menjadi satu umat
yang lemah yang bergantung pada orang lain, satu umat yang tidak
diketahui identitinya atau satu umat yang tidak mempunyai keperibadiaan
yang tersendiri sama ada keperibadian Islam atau keperibadian Arab, sama
ada keperibadian Timur atau Barat.
Dengan
dorongan yang kuat dari pemikiran yang sedar atau tidak sedar,
masyarakat Islam menjurus ke arah Islam sebagai jalan keluar atau jalan
selamat, tetapi malangnya orang-orang Islam hanya menumpukan kegiatan
mereka dalam bidang ibadat sahaja menyebabkan sistem hidup mereka berada
di suatu sudut dan kegiatan ibadat mereka berada di sudut yang lain.
Mereka berada dalam keadaan dua jalan yang terumbang-ambing dan
bertentangan antara satu sama lain, mereka berada dalam keadaan bingung
dan bosan, mereka berada dalam keadaan serba salah yang baru walaupun
tidak seburuk berpisah terus daripada Islam.
Tiada
jalan lain yang dapat menyelamatkan umat Islam dari keadaan dua jalan
yang terumbang-ambing itu selain dari pelaksanaan syariat Allah SWT
secara menyeluruh dalam semua bidang muamalah, jenayah, hudud dan
lainnya, serta mengubah undang-undang ciptaan manusia. Sehubungan dengan
ini, sinar harapan telah kelihatan, di mana langkah–langkah yang
positif sedang menjurus kearah menegakkan kembali undang-undang syariat
di negeri-negeri Arab dan di negeri-negeri Islam untuk membersihkan
masyarakat dari keruntuhan akhlak dan penyelewengan, menegakkan
keperibadian sendiri dan mengendalikan segala urusan kehidupan
masyarakat mengikut pemikiran Islam baik dalam bidang politik ataupun
sosial ekonomi mahupun dalam bidang ketenteraan, juga untuk
menghancurkan segala belenggu kehinaan, membasmi segala bentuk
pencerobohan dan pencabulan, memerangi segala jenis eksploitasi di
samping menghidupkan kepercayaan kepada diri sendiri dan menyatukan umat
Islam di bawah panji-panji al-Quran dan sunah Rasulullah SAW dan
mengambil manfaat dari kajian–kajian perundangan Syariah yang tidak
terkeluar dari dua sumber tersebut.
Kini
orang-orang Islam telah sedar bahawa satu-satunya jalan untuk mencapai
kemuliaan, menolak pencerobohan musuh dan membebaskan bumi Islam dan
hak-haknya yang telah dirampas itu ialah bersatu-padu di bawah
panji–panji jihad untuk menegakkan agama Allah SWT sama seperti
perpaduan dan pengemblengan kekuatan yang telah dilakukan oleh musuh
terhadap kita. Mereka telah memerangi kita di bawah lambang ideologi
kebangsaan dan perkauman mereka yang keji.
Mengenal
hukum–hukum aqad, peraturan–peraturan jihad yang digariskan dalam
perundangan Islam, hukum-hukum hudud dan jenayah, sistem kehakiman Islam
yang adil dan prinsip-prinsip undang-undang Islam merupakan satu cabang
dari pokok besar yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi ahli-ahli
undang–undang dan kehakiman di dunia ini.
Tetapi
yang amat menyedihkan ialah wujudnya sesetengah golongan orang Islam
yang jahil tentang kajian perundangan Islam yang subur itu telah
menyifatkan kajian itu sebagai longgokan undang-undang yang tidak
tersusun kerana didorong oleh perasaan kasih mereka kepada barat dan
kerana ditekan oleh perasaan rendah diri dan tidak percaya kepada diri
sendiri dan kerana jahil dengan tuntutan-tuntutan kehidupan dalam
pelbagai bentuk andaian-andaian dan kemungkinan yang wujud dalam proses
perlaksanaan undang-undang yang ada sekarang ini.
Mereka
merasa senang dan selesa dengan hidangan undang-undang ciptaan Barat
dan lebih bangga menyebut pendapat Tuan Fulan.. dan Mr. Fulan.. dari
menyebut pendapat tokoh-tokoh ulama Islam yang besar yang telah berjaya
mengeluarkan pendapat-pendapat, konsep-konsep dan hasil-hasil karya yang
menjadi idaman para pembesar, alim-ulama, ahli-ahli falsafah dan para
cendikiawan.
Kepada
generasi umat Islam di zaman ini kita menyeru, marilah kita kembali
kepada perundangan Islam yang kaya dan subur ini, marilah kita
menghayati mata-airnya yang nyaman dan menceduk undang-undang yang
sesuai dengan zaman kini. Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita
untuk memilih undang-undangnya yang mudah dan selesa, semoga Allah
mengurniakan keyakinan yang kukuh, pemikiran yang matang dan perasaan
yang peka untuk memilih peraturan-peraturan yang baik, juga untuk
mengesan kebenaran dan mencegah kebatilan dari akar umbinya.
Di
sinilah kita mengetahui bahawa perjuangan menegakkan panji-panji Islam
memerlukan kepada usaha menyiapkan satu tapak yang kukuh untuknya dalam
bentuk mewujudkan realiti yang praktikal untuk perundangan Islam,
pemikiran Islam dan dakwah Islam yang bersifat membina, kerana dakwah
Islam bukannya kenyataan bersifat sentimen yang berkobar-kobar atau
bukannya suatu kerangka kosong yang tidak mempunyai isi dan metodologi.
Usaha mewujudkan tapak yang kukuh itu adalah bertujuan untuk menjamin
kesinambungan dakwah agar ia tidak dapat digugat oleh pukulan ribut
taufan yang kencang atau digugat oleh angkara tipu daya musuh.
Dalam
pengajian perundangan Islam dari semua alirannya, terdapat bukti yang
kukuh bahawa undang-undang Islam sesuai untuk dilaksanakan pada setiap
zaman. Ia merupakan satu jalan yang betul untuk merealisasikan syakhsiah
Islamiah yang padu kerana Islam berfungsi sebagai faktor yang membina
dan menyatu-padu, bukannya faktor yang memecah-belah sebagaimana yang
dilihat oleh pemikir–pemikir yang dangkal fahamannya. Perselisihan
pendapat dalam kalangan ahli-ahli perundangan Islam hanya berlaku dalam
isu–isu kecil atau isu–isu ijtihadiyah sahaja, bukan dalam persoalan–persoalan prinsip dan tujuan.
Oleh
sebab itulah dirasakan amat perlu agar pengajian perundangan Islam itu
dibentangkan dengan gaya penjelasan yang mudah dengan berlandaskan
dalil-dalil yang sahih untuk menimbang-tara dan membandingkan
pendapat-pendapat perundangan di samping memudahkan jalan untuk
mentarjih (menguatkan) atau memilih pendapat–pendapat yang lebih baik
dan sesuai dengan aliran zaman.
Inilah
perkara yang saya ingin lakukan dalam buku ini melalui usaha–usaha yang
bersungguh–sungguh, –Allah SWT sahaja yang mengetahuinya– untuk
menjelaskan setiap pendapat perundangan dan mengetahui hukum setiap
masalah yang terdapat dalam kitab-kitab feqah yang lama dengan harapan
dapat memberi manfaat yang sebaik-baiknya.
HUKUM HUDUD
(Hudud adalah kata majmuk) dari “Al-Hadd” yang bermakna “kawalan” atau “cegahan”.
Dari asal kata yang sama penjaga atau pengawal pintu dipanggil Haddad
kerana ia mengawal dan mencegah seseorang dari memasukinya.
Hukuman-hukuman dinamakan sebagai hukum-hukum hudud kerana ia berfungsi
mencegah orang ramai dari melakukan jenayah-jenayah yang dikenakan oleh
hukum hudud. Istilah Hududullah bererti perlakuan-perlakuan yang
diharamkan dan dicegah oleh Allah SWT.
Firman Allah s.w.t:
تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا
“Itulah perlakuan-perlakuan yang diharamkan Allah oleh kerana itu janganlah kamu dekatinya.” (al-Baqarah: 187)
Istilah Hududullah juga bererti “hukuman-hukuman yang telah ditentukan Allah” yang tidak seharusnya dilakukan seseorang. Hukum-hukum ini dinamakan Hudud kerana ia mencegah seseorang dari melakukannya.
Firman Allah s.w.t:
تِلْك حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا”
“Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh kerana itu janganlah kamu mencabulinya.”(al-Baqarah: 229)
Hudud
mengikut pengertian syara’ yang diguna pakai mazhab Hanafi ialah
hukuman-hukuman yang ditentukan dan diwajibkan Allah SWT sebagai hak
Allah Taala. Hukum-hukum Ta’zir tidak ditentukan Allah (malah diserahkan
kepada budi-bicara pemerintah. Hukum Qisas (balasan bunuh) juga tidak
dinamakan Hudud walaupun ia merupakan suatu hukuman yang telah
ditentukan Allah SWT kerana hukum Qisas merupakan hak manusia bukannya
hak Allah, kerana itu hukum Qisas boleh dimaafkan dan dicari perdamaian,
tetapi semua hukuman-hukuman itu dinamakan hudud kerana ia mencegah
perlakuan jenayah seperti itu daripada berlaku.
Maksud
hukum hudud itu disifatkan sebagai hak Allah SWT kerana hukum hudud
diperundangkan dengan tujuan untuk melindungi maruah, keturunan, harta
benda, akal dan nyawa dari ganguan dan pencerobohan, tetapi sesetengah
hukum hudud seperti hukuman perzinaan dan minum arak adalah hak Allah
Taala semata-mata dengan erti, ia adalah hak masyarakat. Dan sesetengah
hukum hudud yang lainnya seperti hukum hudud qazaf (membuat tuduhan
berzina terhadap orang lain) merupakan hak Allah dan hak manusia, iaitu
satu hukum dimana hak peribadi berkongsi dengan hak umum.
Hukum
hudud mengikut istilah kebanyakan ulama yang bukan dari aliran Hanafi
ialah hukuman yang ditentukan oleh syara’ sama ada ianya hak Allah SWT
atau hak manusia.
JENIS-JENIS HUKUM HUDUD
Jenis-jenis
hukum hudud ialah hukum hudud kerana berzina, hukum hudud kerana
membuat tuduhan zina, hukum hudud kerana mencuri, hukum hudud kerana
merompak, hukum hudud kerana meminum arak dan sebagainya. Mengikut
mazhab imam Hanafi, hukum hudud itu lima:
1- Hukum hudud kerana mencuri.
2- Hukum hudud kerana berzina.
3- Hukum hudud kerana minum arak
4- Hukum hudud kerana mabuk.
5- Hukum hudud kerana tuduhan zina.
Hukuman
hudud kerana merompak termasuk dibawah hukum mencuri dengan pengertian
yang lebih luas kemudian ditambah dua hukum yang lain mengikut
mazhab-mazhab selain daripada mazhab Hanafi, iaitu hukum hudud kerana
Qisas dan hukum hudud kerana murtad. Jadi, hukum hudud mengikut mazhab
ini adalah tujuh, dengan alasan bahawa hukum hudud itu, adalah hukuman
yang ditetapkan oleh Allah SWT yang perlu diikuti dan tidak boleh
diingkari seseorang, juga dengan alasan hukum hudud mengikut pendapat
yang sah adalah meliputi hukuman kerana memelihara hak Allah dan hukuman
kerana memelihara hak-hak manusia, antaranya ialah hak Qisas.
Berdasarkan penjelasan ini kita mempunyai dua istilah mengenai hukum hudud.
Pertama:
Istilah
mengikut mazhab Hanafi yang masyhur, iaitu mengkhususkan hukum hudud
kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu hukuman yang
bertujuan melindungi kepentingan masyarakat, iaitu lima jenis hukuman
yang telah diterangkan sebelum ini dengan memasukkan hukum hudud
merompak kedalam hukum hudud mencuri, juga dengan membezakan hukuman
hudud kerana meminum arak yang diperbuat daripada anggur dengan hukuman
hudud kerana minum minuman yang memabukkan yang diperbuat daripada bahan
selain daripada anggur, iaitu seperti minuman yang diperbuat daripada
beras belanda, madu, cuka dan sebagainya.
Kedua:
Istilah
kebanyakan ahli perundangan yang bukan dari mazhab Hanafi,iaitu
perkataan hukum hudud diistilahkan kepada setiap hukuman yang telah
ditetapkan Allah SWT sama ada hukuman itu bertujuan untuk melindungi hak
Allah Taala atau hak individu-individu. Hukuman-hukuman itu adalah
sebanyak tujuh jenis hukuman termasuk hukuman Qisas dan hukuman murtad.
Saya akan menyentuh tujuh jenis hukuman ini dengan menjelaskan bahawa
jumlah jenayah-jenayah hudud ialah lapan jenis iaitu berzina, membuat
tuduhan zina, minum minuman yang memabukkan, mencuri, merompak,
menderhaka atau merompak, murtad dan membunuh dengan sengaja yang
dikenakan hukuman Qisas. Semua hukuman ini dikira sebagai
hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Ujar
Al-Mawardi: Perbuatan-perbuatan jenayah ialah perbuatan yang terlarang
disisi undang-undang syara’ dan ia dicegah dengan hukum hudud dan hukum
Ta’zir.
HIKMAH DIPERUNDANGKAN HUKUM HUDUD
Hikmah
dan tujuan diadakan hukum hudud atau hukuman-hukuman ialah untuk
mencegah dan menahan manusia dari melakukan jenayah-jenayah itu dan
untuk melindungi masyarakat dari kerosakan dan membersihkannya dari
sebarang perlakuan jenayah.
Ujar Ibnu Taimiyyah rahimahullahu Ta’ala:
Antara rahmat Allah SWT ialah Dia mengenakan hukuman terhadap perlakuan jenayah yang berlaku diantara sesama manusia yang melibatkan nyawa, tubuh badan, maruah dan kehormatan, harta benda, iaitu perlakuan jenayah membunuh, meluka, membuat tuduhan zina dan mencuri. Dan Allah SWT telah mengatur kaedah-kaedah untuk mencegah jenayah-jenayah itu dengan undang-undang yang amat halus, kukuh dan menguatkuasakannya dengan sebaik-baik cara yang dapat mencapai maksud pencegahan itu tanpa melampaui batas yang wajar diterima olehseorang penjenayah.Oleh sebab itu, Allah SWT tidak mensyariatkan hukuman potong lidah atau bunuh ke atas pembohong dan tidak pula mengenakan hukuman memotong kemaluan ke atas mereka yang berzina atau mengenakan hukuman bunuh ke atas pencuri, malah Allah SWT mengenakan hukuman yang sesuai dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya Yang Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Lemah Lembut, Maha Pemurah dan Maha Adil dengan tujuan untuk menghapuskan jenayah yang mendatangkan bala dan mala petaka serta untuk membasmi keinginan-keinginan untuk melakukan kezaliman dan pencerobohan agar setiap orang berpuas hati dengan limpah kurnia dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan tidak tamak untuk merampas hak-hak orang lain.
ADAKAH HUKUMAN POTONG TANGAN ITU SUATU
HUKUMAN YANG KEJAM?
HUKUMAN YANG KEJAM?
Pelaksanaan
hukuman potong tangan adalah merupakan satu cara pencegahan yang sesuai
dengan penjenayah yang mengancam masyarakat. Ia merupakan hukuman yang
memberi rahmat dan keamanan kepada orang ramai umumnya. Dalam Memorandum
Penjelasan Kanun Hudud bagi jenayah mencuri dan merompak bilangan 148
tahun 1972 yang dikeluarkan di Libya terdapat kenyataan berikut:
Sesetengah
golongan yang ragu dan was-was dengan senang hati menyifatkan hukuman
potong tangan (dalam jenayah mencuri dan merompak) sebagai hukuman yang
tidak sesuai dengan tamadun dan kemajuan serta menuduh hukuman itu
sebagai kejam dan bengis. Mereka sebenarnya menumpukan pandangan mereka
hanya kepada aspek kekerasan hukuman, tetapi mereka berpura-pura lupa
kepada kekejaman jenayah itu dan kepada kesan-kesannya yang buruk
terhadap masyarakat. Mereka
pura-pura menangis kerana tangan si pencuri yang berdosa itu dipotong,
tetapi mereka tidak merasa takut kepada jenayah mencuri dan
berbagai-bagai kesan sampingannya yang buruk.
Berbagai-bagai
lagi kesalahan dilakukan kerana jenayah mencuri. Pelbagai pencerobohan
dilakukan ke atas orang-orang perseorangan dan banyak kecederaan parah
dialami oleh orang-orang yang tidak berdosa kerana jenayah mencuri.
Berapa banyak harta benda dan harta kekayaan telah diragut dan dirampas
dan berapa ramai orang yang hidup tanpa rumah tangga kerana harta mereka
dicuri dan kerana sumber rezeki mereka terputus akibah dicerobohi
pencuri, tetapi semua akibat ini tidak pernah difikirkan oleh
orang-orang yang merasa kasihan belas kepada tangan-tangan yang hanya
sedikit yang dipotong untuk menjamin keamanan dan ketenteraman orang
ramai.
Apakah
mereka tidak menyoal diri sendiri manakah yang lebih selesa kepada
masyarakat di antara memotong satu dua tangan setahun yang dapat
menghapuskan jenayah mencuri dan mungkin selepas itu mungkin tiada lagi
tangan yang dipotong dan orang ramai dapat hidup aman, di mana harta
benda dan nyawa mereka terjamin selamat atau pencuri itu hanya dihukum
penjara dan kerja berat untuk sementara atau untuk selama-lamanya bagi
jenayah mencuri sahaja. Di dalam kebanyakan negeri di dunia, puluhan
ribu kes jenayah kecurian berlaku setiap tahun.
Jenayah
mencuri tidak pernah putus malah kian bertambah dari semasa ke semasa,
kian beragam dan kian merebak. Kita masih mendengar berita bank-bank
yang dirompak dengan nekad, keretapi-keretapi yang disamun di siang hari
dan gudang-gudang yang dirompak. Jenayah mencuri harta benda sering
dilakukan serentak dengan jenayah mencederakan, membunuh dan merogol
mangsa-mangsa. Kes-kes yang seperti ini berlaku tidak terhingga
banyaknya dan tidak dapat dicegah walaupun telah digunakan
berbagai-bagai ilmu, kepandaian dan kuasa pihak tertentu.
Perlakuan
jenayah-jenayah yang serius tidak dapat dicegah melainkan dengan
mengenakan hukuman-hukuman berat yang berkesan. Sesuatu hukuman itu
tidak dapat berfungsi sebagai hukuman jika ianya bersifat lembut dan
lemah. Hukuman yang berjaya ialah hukuman yang dapat menumpaskan jenayah
bukannya hukuman yang memberi kemenangan kepada jenayah.
Yang
anehnya, ahli-ahli perundangan ciptaan manusia tidak memandang hukuman
bunuh yang dikenakan ke atas sesetengah jenayah yang lain sebagai
hukuman yang berat, sedangkan hukuman itu jauh lebih berat dari hukuman
potong tangan yang dikenakan ke atas jenayah mencuri dan merompak.
Konsep hukuman yang sebenar harus dilihat dari aspek kesesuaian dan
keberkesanannya dalam membanteras setiap jenayah.
Satu
hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah hukuman memotong tangan
pencuri adalah jauh lebih baik dari membiarkan jenayah itu
bermaharajarela di dalam masyarakat dan mengancam keamanan dan
ketenteraman yang membawa kepada berbagai-bagai kemungkaran dah jenayah
yang lain.
Sejarah
telah membuktikan bahawa masyarakat Islam selepas melaksanakan hukum
hudud telah berada dalam keadaan aman dan tenteram pada keselamatan
harta benda, maruah, kehormatan dan sistem pemerintahannya sehingga
pernah penjenayah sendiri datang menyerahkan dirinya supaya dijalankan
hukuman ke atasnya kerana ingin membesihkan dirinya dan menebus dosanya.
Negeri
Hijaz dan seluruh negeri di Semenanjung Tanah Arab pada zaman yang
lampau merupakan gelanggang-gelanggang yang aktif kepada jenayah mencuri
dan menyamun yang ganas. Mereka melakukan jenayah itu sehingga ke atas
rombongan jemaah haji lelaki dan perempuan yang ingin berkunjung ke
Baitullah. Hanya sebilangan kecil sahaja dari mereka yang selamat pulang
ke negeri mereka.
Tetapi apabila kerajaan Saudi menjalankan hukum hudud terhadap dua jenayah itu, maka negeri itu terus aman,
jenayah mencuri berhenti dan geng-geng penyamun terus hilang sehingga
negeri itu menjadi contoh negeri aman yang mengagumkan, di mana
terhapusnya perlakuan jenayah mencuri dan menyamun walaupun jumlah
penjenayah yang dipotong tangan itu sangat kecil dan tidak setanding
dengan jumlah mangsa yang tidak berdosa yang terkorban dalam satu
serbuan oleh pihak penjenayah. Mengikut rekod, jumlah pencuri yang
dikenakan hukuman potong tangan hanya enam belas orang sahaja dalam masa
dua puluh empat tahun.
Bertitik-tolak
dari keterangan yang lalu, ternyatalah bahawa kekerasan yang bercirikan
hukuman potong tangan itu sebenarnya merupakan suatu rahmat yang
menyeluruh kepada masyarakat kerana terselamat dari keganasan jenayah
kecurian dan rompakan serta kesan-kesannya yang amat buruk. Tindakan
memotong tangan dan kaki sebilangan penjenayah yang amat kecil yang
melanggar perintah Allah SWT itu adalah lebih selesa dari membiarkan
jenayah itu bertindak secara berleluasa terhadap ribuan mangsa yang
tidak berdosa menyebabkan jiwa, tubuh dan harta kekayaan mereka
terkorban, malah kekerasan hukuman hudud merupakan rahmat kepada mereka
yang terlintas di hati untuk melakukan jenayah itu, mereka terpaksa
membatalkan angan-angan itu apabila mereka terbayangkan kepada kekerasan
hukuman yang akan diterimanya nanti.
Kekerasan
hukuman akan menghalangnya dari terjerumus ke dalam gaung jenayah.
Hukuman itu merupakan satu kekerasan dalam suatu skop yang tertentu
sahaja, tetapi ia membawa rahmat yang luas kepada seluruh masyarakat.
Inilah sejajar dengan Syariat Islam selaku Syariat yang berlandaskan
rahmat dan kasihan belas.
Bukankah Allah telah menyatakan dalam firmanNya:
كتب على نفسه الرحمة
“Allah telah mewajibkan dasar rahmat kasihan belas ke atas diri-Nya.” (al-An’aam:12)
Bukankah Allah Taala sifatkan diri-Nya dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih yang kita sebut pada setiap waktu.
Sementara Rasulullah SAW pula bersabda:
الراحمون يرحمهم الرحمن
“Orang-orang yang bersifat kasihan belas dirahmati Allah Yang Maha Penyayang dan Kasihan belas.”
Malah
kita diperintah untuk menunjukkan sikap kasihan belas kepada makhluk
haiwan. Jika beginilah sifat Syariat Islam, tentulah hukum-hukumnya
dalam kanun hudud tidak boleh disifatkan sebagai kejam dan berat, malah
hukuman-hukuman itu meupakan rahmat kepada seluruh orang ramai.
Melihat
kesan hukuman hudud ke atas suatu golongan penjenayah yang kecil sahaja
tanpa melihat kesannya yang baik ke atas masyarakat secara keseluruhan
merupakan satu pandangan yang terbalik dan songsang, malah pandangan itu
lebih hampir dan merupakan satu pandangan yang mempunyai kepentinggan
dan diragui kejujurannya, kerana yang seharusnya menjadi asas pandangan
ialah kepentingan penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahan
mereka tanpa sebarang keraguan yang dapat mengenepikan hukuman itu.
Walaupun
demikian, janganlah dilupakan bahawa Islam amat berhati-hati agar
hukuman hudud tidak dilaksanakan kecuali perlakuan jenayah itu telah
disabitkan bersalah dengan yakin. Sehubungan dengan ini, Islam telah
mengenakan prosedur-prosedur untuk membuktikan jenayah dan mengenepikan
hukuman hudud apabila terdapat keraguan-keraguan yang munasabah.
Langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk mengalakkan pelaksanaan
hukuman hudud kecuali dalam kes-kes yang tertentu sahaja agar tercapai
keberkesanannya dalam mencegah perlakuan jenayah dan mengenakan kawalan
yang maksima ke atasnya.
Malah
pelaksanaan sesetengah hukum hudud seperti hukuman sebat –mengikut
prinsip-prinsip Syar’iyah– lebih disukai oleh sesetengah penjenayah dari
dikenakan hukuman penjara selama beberapa waktu sama ada panjang atau
pendek. Hukuman rejam pula merupakan hukuman bunuh secara terbuka yang
amat memeritkan. Ia merupakan hukuman masyarakat ke atas mereka yang
sanggup mencabul maruah dan kehormatan.
PERBEZAAN DI ANTARA KANUN HUDUD DAN KANUN TA’ZIR
Ciri-ciri perbezaan antara keduanya ialah:
1.
Hukum hudud dan Qisas telah di tetapkan oleh Allah SWT dari awal lagi
di dalam jenayah-jenayah yang tertentu, di mana hakim tidak boleh
menggunakan budi bicaranya dalam menilai hukuman-hukuman itu mengikut
keadaan-keadaan penjenayah atau mengikut suasana-suasana berlakunya
jenayah itu. Adapun hukuman-hukuman Ta’zir (keseksaan), maka ia terserah
kepada budi-bicara hakim, di mana ia boleh menimbang dan memilih
hukuman yang sesuai mengikut keadaan, penjenayah, keperibadian,
kesalahan-kesalahannya yang telah lepas dan mengikut keberkesanan atau
kesesuaiannya dengan hukuman itu, juga mengikut keadaan suasana
perlakuan jenayah itu dan kesannya kepada masyarakat.
Walaupun
demikian, kuasa membuat pertimbangan dan penilaian yang diberikan
kepada hakim itu adalah terikat dengan peaturan-peraturan yang ketat
terutama dalam aspek memilih hukuman-hukuman keseksaan yang sesuai
dengan perlakuan-perlakuan kesalahan yang termasuk dalam perbuatan
masiat. Untuk maksud itu, seorang hakim disyaratkan untuk mempunyai
pengetahuan hukum yang mencapai tahap mujtahid mengikut mazhab Syafie,
Maliki dan Hanbali. Di sini ternyatalah bahawa kuasa yang diberikan
kepada hakim itu bukan kuasa mutlak yang terikat terhadap mana-mana
peraturan-peraturan yang tertentu, di mana pihak tertuduh tidak mendapat
jaminan-jaminan keadilan.
2. Hukum
hudud wajib dilaksanakan oleh pemerintah, begitu juga hukuman Qisas
jika tidak dimaafkan oleh wali darah. Hukuman-hukuman hudud tidak boleh
dimaafkan, dibebas, disyafaat dan digugur dengan sebarang alasan dan
sebab, tetapi di dalam hukuman Ta’zir di sana terdapat ruang
perselisihan pendapat di antara tokoh perundangan Islam. Mengikut
pendapat tokoh perundangan Islam yang besar, iaitu Imam Malik, Imam Abu
Hanifah dan Ahmad, hukuman Ta’zir wajib dilaksanakan oleh pemerintah
sama seperti hukuman hudud, tetapi boleh dimaafkan jika pemerintah
berpendapat kemaafan itu boleh mendatangkan kebaikan atau melihat
penjenayah itu boleh menjadi baik dengan cara-cara yang lain daripada
mengenakan hukuman keseksaan seperti dikenakan celaan atau sebagainya.
Sementara
Imam as-Syafi’e berpendapat bahawa hukuman Ta’zir tidak diwajibkan ke
atas pemerintah untuk melaksanakannya. Ia diberi kebebasan
melaksanakannya atau tidak melaksanakannya, kerana hukuman Ta’zir adalah
hukuman yang tidak ditentukan oleh syara’. Ia sama seperti hukuman
pukulan yang dilakukan oleh seorang bapa, guru atau suami.
Punca
pebezaan pendapat ini ialah kerana hukuman-hukuman Ta’zir melibatkan
perkara-perkara yang sesetengahnya merupakan hak Allah SWT seperti
menghina sahabat-sahabat Rasulullah SAW atau menghina al-Quran dan
sebagainya atau sesetengahnya merupakan hak individu yang boleh
dimaafkan seperti, perbuatan memukul atau memaki seseorang dan
sebagainya.
3.
Hukuman Ta’zir sesuai dengan prinsip umum yang menetapkan perlu
wujudnya perbezaan hukuman kerana perbezaan jenayah, sedangkan hukum
hudud sama sahaja. Ia tidak berbeza dengan sebab besar kecil perlakuan
jenayah, iaitu ia sama sahaja di antara kesalahan mencuri satu dinar
dengan kesalahan mencuri seribu dinar, di antara peminum arak yang minum
sedikit atau yang meminum arak dengan banyak.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar